MAHARAJA LAWAK MEGA 2013 KEMBALI, KEKAL FORMAT LAMA
KUALA LUMPUR, 29 OKT 2013: Kembali menemui peminat program lawak, Maharaja Lawak Mega 2013 masih mengekalkan format lama sama seperti edisi yang sebelumnya. Kelainan pada kali ini lebih tertumpu kepada kehadiran muka baru selain kolaborasi para pelawak dalam pembentukan sesebuah kumpulan.
Masih mengekalkan Dato’ Ac Mizal sebagai pengacara utama, pentas Maharaja Lawak Mega 2013 bakal menyaksikan penyertaan daripada tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Seramai 13 buah kumpulan bakal bersaing dengan tujuh buah kumpulan baru dibentuk untuk merebut gelaran juara Maharaja Lawak Mega 2013. Kumpulan baru yang dibentuk termasuklah Wala,Comey, Osama, Tulang, Bocey, Kucai dan SYJ.
Selain tujuh buah kumpulan baru, terdapat juga perebutan kerusi panas di mana 12 kumpulan bakal berentap bagi merebut peluang terpilih secara automatik ke pentas Maharaja Lawak Mega 2013 kelak. 12 kumpulan yang bakal berentap ialah Shake, Glory,Santan, Hai, Mamu, Zero, Pajak, Gadai, Kecik, 2yol, Gerak dan Keross.
Pemilihan 12 kumpulan ini akan dilakukan secara langsung pada 8 November jam 10 malam di Astro Warna (132) dan diadili oleh tiga juri profesional untuk memenuhi tiga kekosongan tempat di Maharaja Lawak Mega 2013.
Menurut Pengurus Saluran Premium Astro, Encik Nizam Sani, sistem permarkahan masih sama dengan 70 peratus dari pihak juri dan 30 peratus daripada undian para penonton. Para peserta juga bakal diberi tema yang lebih mencabar setiap minggu bagi merancakkan lagi pentas MLM 2013.
“Kami masih mengekalkan format lama di mana 70 peratus diadili oleh empat pihak juri dan 30 peratus undian daripada para penonton. Apa yang berbeza kali ini adalah penyertaan para peserta yang bebas untuk membentuk kumpulan mereka sendiri.
“Jadi para penonton akan dapat lihat kolaborasi atau kerjasama para pelawak dan saya pasti ini akan lebih menarik minat para penonton untuk terus menyokong dan menonton program MLM 2013.
Para peserta juga bakal diberi tema yang lebih mencabar untuk merancakkan lagi pentas MLM kali ini,” jelas Encik Nizam pendek.
Dalam pada itu, menurut Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Encik Khairul Anwar Salleh, walaupun terdapat beberapa pertukaran ahli kumpulan untuk penyertaan kali ini, ianya pasti lebih menghangatkan suasana kerana para penonton dapat melihat prestasi setiap kumpulan yang bertanding.
“Kami sedar beberapa pertukaran ahli kumpulan di MLM kali ini agak mengejutkan tetapi sudah pasti memberi kelebihan kepada kepada mereka juga sesuatu kelainan buat para penonton.
Seperti Nabil yang kini kembali solo selain penambahan ahli baru dalam kumpulan Sepahtu contohnya satu strategi baru buat mereka untuk menarik undi atau perhatian penonton kelak.
“Jadi mereka bebas untuk memilih sesiapa sahaja ahli kumpul kali ini untuk dan kami turut percaya setiap kumpulan punya kelebihan dan keistimewaan mereka yang tersendiri,” ujar Encik Khairul pendek.
Juara Maharaja Lawak Mega 2013 bakal membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai sebanyak RM500,000 manakal tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM250,000 dan RM150,000.
Turut diperkenalkan semula aplikasi permainan percuma kepada pemilik telefon pintar Android dan iPhone dengan kemaskini terbaru permainan ‘Mana Naga?’
Empat juri utama yang bakal mengadili program MLM kali ini juga turut dirahsikan sehingga diumumkan di minggu pertama program ini bersiaran iaitu pada 15 November 2013 jam 10.00 malam di Astro Warna (132) dan Mustika HD 134) serta aplikasi Astro on-the-go.
Sumber: www.murai.com.my
Sumber: www.murai.com.my
No comments:
Post a Comment