PUTRAJAYA 12 Mac - Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) mahu orang Melayu di negara ini bangkit memperjuangkan ekonomi mereka supaya tidak terus ketinggalan berbanding kaum lain.
Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, ketidakseimbangan pencapaian ekonomi antara kaum yang berlaku ketika ini perlu diubah bagi memastikan nasib kaum Melayu pada masa hadapan lebih terjamin dan terus maju.
Menurutnya, bagi mencapai tujuan itu, generasi muda terutama mahasiswa perlu berusaha mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mendalam serta asas kukuh yang berkait rapat dengan ekonomi.
"Generasi masa depan perlu mempertingkatkan ilmu mengenai bidang ekonomi dan menyusun strategi penjanaan ekonomi dengan baik.
"Mereka perlu menjadi ejen perubahan yang boleh mengubah ekonomi bumiputera ke satu tahap lebih hebat dan mampu bersaing dengan kaum lain dalam bidang ekonomi," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Wakaf Korporat Memperkasa Ekonomi Melayu' di Persidangan Kebangsaan Agenda Transformasi Melayu Islam di sini hari ini.
Turut hadir pada persidangan itu ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail dan Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh.
Menurut Muhammad Ali, ketidakseimbangan dalam pencapaian ekonomi itu harus diubah segera bagi memastikan bumiputera terus berdaya saing dan maju.
Mengenai kertas kerja yang dibentangnya, Muhammad Ali berkata, Wakaf Korporat merupakan idea semasa beliau menjadi Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp).
Beliau berkata, wakaf korporat memberi implikasi besar kepada masa depan JCorp sebagai badan korporat dalam perjuangan menjayakan jihad bisnes untuk kepentingan bangsa, negara dan umat Islam.
"Pada masa tersebut juga, ia memberi pengiktirafan undang-undang kepada institusi Wakaf Korporat menerusi penubuhan Waqaf An Nur Corporation Berhad (WANCorp).
"Oleh itu, WANCorp berpotensi memainkan peranan strategik dalam konteks menjayakan agenda transformasi Melayu Islam dalam konteks Model Baru Ekonomi (MBE)," katanya.
Persidangan Kebangsaan Agenda Transformasi Melayu Islam yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan kerjasama Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara) dan Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dihadiri kira-kira 300 peserta yang mewakili kelompok cendekiawan Melayu Islam dalam pelbagai bidang.
...The RIGHTS
www.rights.com.my
No comments:
Post a Comment